Ahmad Farid Sainuri : Memimpin Masa Hadapan

“Kalau memilih tempat mandi, pertama teluk kedua pantai. Kalau nak pilih pemimpin sejati, pertama elok kedua pandai."

Oleh: Ummu Qawwam

Latar belakang

Ahmad Farid Sainuri, seorang anak Sabah yang membesar di daerah Putatan merupakan seorang graduan tajaan pendidikan PETRONAS dalam Ijazah Sarjana Muda Sistem Maklumat Perniagaan, Universiti Teknologi Petronas. Beliau bersekolah rendah di SK Tanjung Aru 1 dan Sekolah Ugama Islam Sabah Putatan sebelum ke Maktab Sabah dan Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) Kota Kinabalu bagi pendidikan menengah.

Memulakan kerjaya pada tahun 2012 sebagai Pegawai Eksekutif Prestasi Perniagaan PETRONAS Carigali Sabah dan seterusnya Pembantu Eksekutif (Executive Assistant) kepada Pengerusi PETRONAS Sabah, beliau bukan sahaja komited dalam kerjayanya tetapi juga aktif dalam Organisasi Bukan Kerajaan (NGO) iaitu melalui Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) Negeri Sabah dan Majlis Belia Sabah (MBS). Jawatan tertinggi beliau di ABIM Sabah adalah sebagai Timbalan Yang Dipertua dan di Majlis Belia Sabah adalah sebagai Presiden yang mengetuai gabungan pertubuhan belia dengan jumlah ahli melebihi 124,000 orang.

Pemerkasaan dan Gerakan Belia

Antara legasi yang ditinggalkan beliau sepanjang 4 tahun memimpin Majlis Belia Sabah adalah mengasaskan Inkubator Kepimpinan Belia Sabah (IKEBS) yang memperkenalkan program pemerkasaan belia aras tinggi seperti Felo SMJ, Dewan Belia Sabah, Xchange (program pertukaran antarabangsa), SYVOC (Sabah Youth Volunteer Community) dan Empower (sistem permohonan dana pertubuhan belia). Penglibatan beliau dalam gerakan kebeliaan bukan sahaja terhad dalam Negeri malah pernah mewakili Negara dalam beberapa program antarabangsa di Jepun, Indonesia, Brunei, Myanmar, Cambodia, Turkiye, Romania, Czech Republik, Poland, Sempadan Syria dan United Kingdom sejak 2014 - 2022.

Sepanjang tempoh pandemik Covid-19 pula, beliau telah menggerakkan bantuan kemanusiaan di seluruh Sabah melalui inisiatif Dapur Belia - Majlis Belia Sabah. Gerakan ini telah mendapat perhatian orang persendirian, badan korporat dan juga Kerajaan Negeri sebagai penyumbang utama dimana bantuan yang berjaya diagihkan mencapai lebih 35,000 orang penerima. Sebagai menghargai keterlibatan beliau dalam pemerkasaan gerakan belia, beliau telah dianugerahkan dengan beberapa anugerah dan darjah kebesaran antaranya:

1.Ahli Darjah Kinabalu (A.D.K) sempena Sambutan Ulang Tahun Kelahiran Rasmi ke-71 Yang Dipertua Negeri Sabah
2.Tokoh Belia - Majlis Belia Sabah
3.Tokoh Khalid Al Walid dalam sambutan Maal Hijrah Peringkat Negeri Sabah
4.Ikon Belia Harapan (Kesukarelawanan) Kementerian Belia dan Sukan Negeri Sabah

Nota: Penulisan artikel ini adalah pandangan peribadi penulis.

Mengenali beliau, Ahmad Farid Sainuri sering menekankan tentang pentingnya pendidikan dalam mengasah pemikiran kritis belia dan percaya bahawa kekuatan belia tidak hanya terletak pada kudrat fizikal tetapi juga ketajaman pemikiran, idealism dan aktivism. Pengalaman beliau sebagai seorang Presiden Majlis Belia Sabah juga membantu beliau memahami dinamika sosial dan politik dengan lebih holistik.

Dari Gerakan Belia Ke Medan Politik

Pengalaman beliau dalam organisasi belia telah memberi keberanian kepada beliau untuk melangkah ke medan politik. Beliau memulakan penglibatannya dalam politik dengan menjadi salah seorang calon yang bertanding mewakili parti tempatan pada Pilihanraya Negeri (PRN) Sabah pada tahun 2020 namun keputusan undian tidak berpihak kepada beliau. Walau bagaimanapun, kekalahan itu bukanlah pengakhiran karier politik beliau akan tetapi diibaratkan sebagai “crash course” dalam rencah politik tempatan.

Pada tahun 2021, beliau memutuskan untuk menjadi ahli Parti Keadilan Rakyat (PKR) secara rasminya. Sebagai rekod, beliau memimpin pasukan media dan komunikasi strategik yang menjadi antara penyumbang kepada kemenangan yang diperolehi oleh YB Datuk Ts. Mustapha Sakmud di Parlimen Sepanggar dalam Pilihanraya Umum (PRU) ke-15.

Ketokohan Sebagai Pemimpin

Selain daripada dilantik sebagai Ahli Majlis Pimpinan Negeri (MPN) Keadilan Sabah, di peringkat Kebangsaan pula Beliau merupakan Ahli Majlis Pimpinan Angkatan Muda Keadilan (AMK) Malaysia. Disamping menjawat jawatan dalam parti politik, beliau juga merupakan Setiausaha badan “Think & Do Tank”; Kinabalu Research and Reform Initiative For Strategic Leadership (KRISTAL) dan Pengerusi Eksekutif Initiative For Generation (IFG). Sifat aktivisme beliau juga tidak berakhir pada gerakan belia sahaja tetapi masih diteruskan walaupun beliau kini merupakan Pegawai Tugas-Tugas Khas (PTTK) kepada YB Timbalan Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Ts. Mustapha Sakmud yang sebelum ini merupakan Timbalan Menteri Sumber Manusia.

Pada Himpunan Perdana Rakyat bersama YAB Datuk Seri Panglima Anwar Ibrahim di Sabah International Convention Centre (SICC) pada 4 Ogos 2024 yang lalu, beliau telah menyampaikan pidato yang menyentuh tentang kepentingan penglibatan belia Sabah dalam STEM (Science, Technology, Engineering and Mathematics) di hadapan 15,000 orang hadirin. Dalam beberapa siri forum dan seminar pula, beliau memperkenalkan aspirasi Sabah 2063 (100 Tahun Malaysia) dan 6 gagasan Sabah Maju Jaya yang merangkul segenap kekuatan rakyat dari aspek bembudayaan ilmu, kemudahan infrastruktur, kekuatan institusi keluarga, sifat empati dan altruism, pemerkasaan penjawat awam dan peranan negarawan sebagai pembuat polisi yang berkesan. 

Ini membuktikan ketokohan beliau masih terserlah dan beliau berpotensi untuk menjadi pemimpin negeri Sabah dan Malaysia pada masa hadapan. Kendatipun ada yang mempunyai persepsi bahawa beliau hanya mementingkan jawatan tetapi portfolio beliau membuktikan sebaliknya. Tanpa ada jawatan pun beliau kekal aktif menyampai khidmat kepada masyarakat dari segi tenaga, masa dan buah fikiran. Pemimpin yang tidak kekok untuk bergelumang dengan permasalahan rakyat beginilah yang diperlukan, komitmen yang seumpama inilah yang kita mahukan.

Dengan kombinasi kelayakan pendidikan , pengalaman kerjaya, rangakaian luar Negara, penglibatan aktif dalam NGO dan politik, Ahmad Farid Sainuri menunjukkan potensi besar sebagai pemimpin masa hadapan. Keupayaannya untuk bersikap “agile” dalam pelbagai situasi, komitmen terhadap keadilan sosial dan visi strategiknya menjadikan beliau dihormati sebagai seorang tokoh muda yang mampu membawa perubahan signifikan dalam lanskap politik Malaysia. 

Secara keseluruhan, Ahmad Farid Sainuri adalah contoh seorang pemimpin yang mempunyai ketokohan, kualiti, dan potensi yang diperlukan untuk memimpin generasi seterusnya.